Rabu, 20 Julai 2016

sejarah kampung tian

Tiada dokumen rasmi yang menceritakan tentang sejarah Kampung Tian Matu. Hanyalah cerita lisan yang diturunkan dari generasi ke generasi menjadi sumber rujukan utama untuk menceritakan asal usul Kampung Tian Matu. Terdapat beberapa versi sejarah yang dikaitkan dengan pembukaan Kampung Tian Matu. Menurut mantan Penghulu Kampung Tian Matu (dikenali sebagai Penghulu Usup oleh penduduk setempat), sejarah bermulanya Kampung Tian ialah apabila datangnya sekumpulan pemburu yang berasal dari Kampung Pangtray Daro (semasa pemerintahan Kerajaan Brunei) untuk mencari perlindungan dari serangan lanun disamping berburu di dalam hutan. Mereka berhenti berehat di sebuah kawasan hutan yang tidak bernama. Mereka seterusnya mendirikan khemah di kawasan tersebut untuk beberapa malam. Maka timbul ilham dari seorang daripada pemburu untuk memberi gelaran pada tempat tersebut sebagai rujukan pada masa akan datang. Nama "Tian" dipilih untuk dijadikan nama kawasan tersebut.
                                                                                                (sumber: Mantan Penghulu Kpg Tian/Lisan)

Versi kedua ialah, pembukaan kawasan Tian oleh Canal Achmen. Seorang Pegawai British. Menurut sumber, beliau membina terusan sebagai jalan perhubung ketika itu. Achmen membina terusan itu setelah melihat arus sungai mengalir ke dua kawasan yang berlainan iaitu ke Daro dan ke Matu. Pada masa itu, pembinaan terusan ini dilakukan dengan menggunakan tenaga kerja penduduk setempat. Arus yang mengalir ke arah yang berbeza ini telah mewujudkan pembukaan sebuah perkampungan. Maka dengan itu, wujudlah sebuah penempatan yang diberi nama Kampung Tian. Di percayai, Tian mendapat nama dari Sungai Tian yang mengalir dengan bersih, sejuk, nyaman dan segar. Sungai yang wujud ini berfungsi sebagai penghubung kepada penduduk kampung untuk ke Daro dan ke Matu atau ke kampung-kampung yang berdekatan. Sehingga ke hari ini, sungai ini masih dimanfaatkan sebagai penghubung kepada penduduk tempatan walaupun kampung ini telah menerima kemudahan jalan raya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan